TANPA menjadikan perbezaan kaum sebagai alasan, setiap wanita pastinya merungut sejurus melihat perubahan bentuk tubuh yang tidak dapat dinafikan. Kumpulan lemak mula menjadi degil selain berkumpul di bahagian khusus seperti perut dan peha.
Namun sudah menjadi perkara yang lazim, berat badan dan bentuk tubuh pastinya mengalami perubahan selepas melahirkan anak. Justeru untuk mengembalikan imej yang jauh lebih mengancam memerlukan disiplin yang ketat dalam tempoh 44 hari atau 60 hari berpantang.
Hasrat memiliki tubuh langsing seperti zaman anak dara sukar direalisasikan kerana cara hidup moden kini menyebabkan ramai wanita baru bersalin enggan menjalani proses berpantang sehingga berat badan naik mendadak.
Hakikatnya, berpantang secara tradisional yang diamalkan dalam masyarakat Melayu, Cina dan India sebenarnya adalah langkah terbaik untuk mengembalikan susuk tubuh yang diidamkan. Malah, cara itu boleh menjamin keadaan badan kekal segar walaupun semakin dipandang sepi oleh masyarakat moden.
Cara berpantang bagi ketiga-tiga masyarakat lebih kurang sama. Malah, tujuan yang ditekankan untuk menjalani proses pantang turut masih memberi penekanan untuk mengekalkan kecantikan luaran dan dalaman untuk jangka masa panjang. Sebagai contoh, tumpuan diberikan lebih kepada aspek pemakanan.
Suri rumah yang masih mengamalkan cara berpantang tradisional, K Kausalya Devi berkata, dia meyakini berpantang banyak membantu dirinya bukan saja untuk mengekalkan kelangsingan tubuh tapi mengembalikan kecergasan diri.
"Saya yakin, tidak banyak perbezaan dalam cara berpantang antara Cina, Melayu mahu pun India. Sebagai contoh, sepanjang berpantang, makanan yang `sejuk´ perlulah dielakkan kerana ia boleh menyebabkan badan berasa sejuk, lantas menyebabkan tubuh menjadi `tidak kuat´ pada waktu tua.
"Selain itu, kami juga mengamalkan kaedah mengikat tubuh menggunakan kain bagi mengelakkan otot tubuh mengembang selepas melahirkan bayi. Cuma seperkara menjadi kelainan adalah kami menggunakan kain sari untuk dijadikan bengkung selepas ramuan khas disapukan di perut," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Menceritakan lebih lanjut pengalamannya berpantang, ibu kepada tiga anak memberitahu sepanjang tempoh itu pelbagai pantang larang perlu dituruti demi menjaga kesihatan diri dan anak yang baru dilahirkan. Walaupun kurang selesa dengan keadaan itu, dia akur.
"Masih jelas di kotak pemikiran saya bagaimana perut saya disimbah dengan air ketika dimandikan mak bidan. Percikan air yang kuat menusuk terus ke dinding perut menyebabkan perut saya rasa seperti ditumbuk.
"Mak bidan memberitahu saya, kaedah menyimbah air seperti itu bertujuan untuk membuang darah beku yang tersekat dalam perut. Namun, ia perlulah dilakukan dengan teknik betul dan hanya oleh mereka yang benar-benar berpengalaman," katanya sambil tergelak kecil menceritakan keadaannya ketika itu.
Menyambung lanjut, Devi memberitahu dia juga tidak dibenarkan membasuh rambut setiap hari sebaliknya ia dilakukan secara berselang seli. Wanita itu juga tidak dibenarkan membersihkan diri selepas jam 10 pagi kerana khuatir badan akan menyerap air dan menyebabkan kembung.
Katanya, kepalanya turut diasap menggunakan kemenyan, yang dipercayai mampu memanaskan kepala selepas dibilas dengan air. Kaedah mengasap itu turut dilakukan pada bayi bagi mengekalkan badan mereka panas.
Selain itu, jelasnya, bagi mengelakkan bayi daripada gangguan ketika tidur, dahi mereka akan ditandakan hitam supaya mereka tidak terkejut ketika tidur. Malah, tetamu mengunjungi keluarga yang baru mendapat bayi juga tidak digalakkan menjamu selera di rumah itu.
Wanita yang membesar dalam persekitaran Melayu itu juga memberitahu masyarakat India percaya adalah tidak elok untuk duduk di ambang pintu sepanjang kehamilan kerana khuatir kepala bakal bayi dilahirkan nanti besar.
Ditanya cara pemakanan yang diamalkan bagi membuang angin dalam badan sepanjang tempoh berpantang, Devi menjelaskan masyarakatnya gemar menggunakan bawang putih sebagai bahan asas menghilangkan rasa kembung malah ia juga dipercayai baik untuk bayi menyusu.
Kelebihan bahan semula jadi seperti kapur juga digunakan untuk merawat kesan parut regangan pada perut dan bahagian lain seperti peha dan lengan.
"Selain mengelakkan pengambilan makanan yang banyak pada satu waktu, kami juga dilatih untuk mengurangkan pengambilan makanan sejuk seperti timun, tembikai, kangkung, kubis dan buah kundur. Elak juga makanan mengandungi banyak lemak dan santan.
"Bahan penting yang perlu ada dalam masakan ialah halia, lada hitam, ketumbar, cekur dan pokok kekunci. Tidak cukup dengan itu, ibu yang sedang berpantang akan dipaksa untuk memakan bawang putih goreng mengikut jumlah dan keperluan ditetapkan," jelasnya lagi.
Devi memberitahu, selain memberi penekanan pada pantang larang dan peraturan, ibu yang sedang hamil juga sering dinasihatkan untuk menceriakan hari mereka sambil melakukan pelbagai aktiviti sekali gus sentiasa bersikap positif.
"Kami percaya, apabila ibu yang hamil menjalani kehidupan yang bermakna sepanjang usia kandungan, ia bakal mempengaruhi perkembangan bayi dan apabila dilahirkan, kanak-kanak itu akan membesar menjadi seorang individu yang ceria dan baik.
"Jika kita murung dan menjadikan masalah yang dihadapi sebagai satu bebanan, anak yang bakal dilahirkan nanti akan turut menerima kesannya," katanya menamatkan perbualan.
Amalan masyarakat Cina
SEMENTARA itu, model terkenal, Amber Chia menjelaskan, wanita Cina yang mengandung sentiasa diberi kawalan ketat dalam setiap tindak-tanduk dan kegiatan seharian mereka, malah ibu mentua yang bertanggungjawab menjaga wanita mengandung dan bukannya suami.
Katanya, masyarakat Cina juga amat mementingkan anak lelaki. Ini kerana anak lelaki boleh melanjutkan keturunan mereka melalui pewarisan nama nenek moyang. Anak perempuan hanya menjadi milik ibu bapa buat sementara waktu dan apabila berkahwin, mereka dianggap menjadi milik keluarga suaminya.
"Banyak pantang larang yang perlu dipatuhi semasa mengandung. Antaranya, ibu mengandung tidak dibenarkan melakukan kerja seperti memaku kerana dikhuatiri bayi yang lahir akan mengalami kecacatan.
"Wanita hamil juga perlu mengawal tingkah laku seperti tidak mengeluarkan kata-kata kesat dan dilarang memukul binatang. Ini bertujuan menghindari bayi daripada terkena badi. Mereka juga digalakkan bekerja supaya mudah bersalin," katanya.
Model yang sarat mengandung bayi sulungnya itu berkata, masyarakat Cina juga percaya memberi nama kepada bayi belum lahir semasa mengandung juga tidak boleh dilakukan bagi mengelak perasaan kecewa andai harapan tidak tercapai. Selain itu, wanita hamil turut tidak digalakkan terlalu kerap menggosok perut mereka kerana khuatir bayi yang dilahirkan akan bersifat manja.
"Banyak perkara yang perlu dituruti sepanjang kehamilan. Namun itu tidak mengecualikan wanita Cina untuk terus berdisiplin meneruskan pantang selepas melahirkan bayi. Antaranya berpantang selama 40 hari. Ibu berpantang juga tidak dibenarkan mandi air sejuk kerana dibimbangi masuk angin.
"Pusat bayi yang baru dilahirkan diikat dan dililit dengan sehelai kain pada perutnya. Ini bertujuan untuk mengelakkan perut bayi dimasuki angin dan untuk mengeringkan tali pusat," jelasnya.
Amber menjelaskan, dari segi pemakanan pula masyarakat Cina menggunakan sejenis arak yang dibuat daripada beras diperam dalam masakan mereka. Arak itu dimasukkan bersama-sama ayam, halia dan lada, lalu digoreng. Masakan panas dan pedas ini dipercayai dapat mengeluarkan angin daripada badan wanita yang bersalin di samping menguatkan semula tenaga.
Katanya, masyarakat Cina juga tidak terkecuali mengadakan kenduri kesyukuran seperti masyarakat Melayu, iaitu apabila bayi mencapai usia sebulan. Kuih khas berbentuk bulat berwarna merah dan kuning berintikan kacang dan telur yang diwarnai merah diberikan kepada saudara terdekat. Mereka yang mendapat kuih dan telur ini akan membalasnya dengan membawa hadiah seperti pakaian bayi dan pati ayam untuk ibu terbabit.
"Seperti masyarakat Melayu, kami juga menyambut meriah kehadiran anggota baru. Selain majlis kesyukuran, masyarakat Cina turut mengamalkan adat mencukur rambut kerana beranggapan rambut bayi yang dilahirkan adalah rambut sementara.
"Rambut yang tumbuh semasa dalam kandungan perlu dicukur untuk membenarkan kehadiran rambut baru. Adat ini sebagai pengiktirafan terhadap kelahiran orang baru ke dalam masyarakat," katanya.
INFO
Cara berpantang masyarakat Melayu
* Urutan
Bertujuan melancarkan peredaran darah dan biasa dimulakan tiga hari selepas kelahiran. Ia tidak boleh dielakkan kerana akan menyebabkan tubuh berasa sengal.
* Bertungku
Bertujuan mengeluarkan darah kotor terutama saki baki darah beku, membuang angin dan menyembuhkan luka peranakan selain mengecutkan urat yang kembang. Ia selalu dilakukan pagi dan petang.
* Bertangas
Bertujuan membuang angin meroyan, mengecutkan bahagian sulit, menyihatkan sistem peranakan, membetulkan kedudukan salur peranakan dan mengecutkan rahim.
* Berbengkung
Perlu dilakukan sepanjang tempoh berpantang. Ia mengelakkan perut buncit selain berfungsi mengembalikan kedudukan peranakan. Ia juga dikatakan sebagai alat membantu `mendapatkan´ kembali tubuh langsing kerana ia menghalang daripada makan banyak.
* Mandi rempah ratus
Bertujuan membuang angin dalam badan selain menghaluskan kulit. Ia juga dikatakan mampu mengekalkan kesegaran dan menaikkan seri wajah.
* Memakai param dan pilis
Bertujuan mengelakkan pening dan rabun.
* Minum jamu
Bertujuan memanaskan badan, mempercepatkan rahim mengecut selain merapatkan kembali bahagian sulit.
Elakkan
* Keluar rumah
* Membuat pergerakan pantas atau lasak, dengan kata lain kurangkan berjalan
* Makan dan minum berlebihan
* Membaca dan melaksanakan kerja yang memerlukan tumpuan seperti menjahit.
* Terdedah kepada cuaca sejuk.
*********extra note: cik eby nak syorkan satu altenatif berpantang yang memang berkesan dan sangat flexible serta sesuai dengan zaman sekarang dan tak juga meninggalkan cara lama....dengan hanya memiliki 1 set premium beautiful...badan kita ibarat diurut dan jaring yang ada pada long girdle tu fungsi seperti bertangas..FIR membantu memanaskan badan dengan menghasilkan tenaga haba yg sesuai utk badan serta boleh melancarkan darah dan juga boleh membetulkan aligment badan yang dah lari....
No comments:
Post a Comment
Terima Kasih mengunjungi kami...Datang Lagi yeee :)