Monday, 21 November 2011

Sakit usus – BIASA ATAU BARAH? (Berita Harian, 2 November 2010, Pg 08)

PENYAKIT sindrom gangguan usus atau irritable bowel syndrome (IBS) merupakan sejenis penyakit di usus yang biasa dihidapi di sini.

Sekitar 10 peratus penduduk Singapura terjejas oleh IBS yang menyebabkan kesakitan atau ketidakselesaan di perut, perut kembung atau cirit-birit.

Tetapi, gejala atau simptom penyakit IBS ini boleh juga merupakan gejala bagi penyakit yang lebih serius iaitu barah di saluran neuroendokrin.

Ini bermakna, seorang yang disangka menghidap IBS yang tidak membawa maut, boleh sebenarnya menghidap barah neuroendokrin.

Maka itu, untuk lebih memahami sama ada terdapat kaitan antara gejala-gejala penyakit IBS dengan barah neuroendokrin, Hospital Besar Singapura (SGH) dan Pusat Barah Nasional Singapura (NCCS) telah melancarkan satu kajian perintis yang melibatkan para pesakit IBS atau mereka yang menunjukkan tanda-tanda menghidap IBS.

“Ia adalah kajian peringkat awal untuk lebih memahami kaitan antara gejala kedua-dua penyakit ini.

“Para individu yang menunjukkan gejala-gejala IBS yang terlibat dalam kajian ini akan diambil darahnya untuk ujian Chromogranin atau CgA untuk mengesan kemungkinan adanya tumor-tumor barah neuroendokrin,” kata pengkaji utama, Dr Wang Yu Tien, konsultan bersekutu di Jabatan Gastroenterologi dan Hepatologi di SGH.

KAJIAN PERTAMA

“Ia merupakan kajian pertama yang dijalankan di sini untuk meningkatkan pemahaman kami mengenai tumor barah neuroendokrin,” tambahnya.

CgA adalah protein yang dikeluarkan oleh sel-sel tumor berbarah ke dalam saluran darah.

Lebin tinggi kadar CgA ini, maka lebih berkemungkinan seseorang itu menghidap barah neuroendokrin.

“Sekiranya ia adalah tiga kali lebih tinggi daripada paras normal, maka berkemungkinan individu itu menghidap barah tersebut,” jelas Dr Wang dalam sidang akhbar baru-baru ini.

Sistem neuroendokrin ialah kombinasi sistem endokrin (melibatkan hormon-hormon yang bertindak sebagai pengutus biokimia untuk mengatur fungsi organ dalam tubuh) dengan sistem saraf (yang menjalankan fungsi yang sama menggunakan gerakan elektrikal).

Tumor neuroendokrin berasal daripada sel-sel pengeluar hormon di dalam sistem neuroendokrin. Salah satu jenis tumor itu ialah tumor carcinoid yang biasanya tumbuh di paru-paru dan saluran usus dan perut.

Hormon-hormon yang dikeluarkan itu boleh membuat pesakit rasa tidak selesa di perut atau mengalami cirit-birit.

Gejala ini mudah disalah anggap sebagai gejala penyakit IBS, lantas membuat barah neuroendokrin susah dikesan.

Menurut Dr Wang lagi, barah neuroendokrin jarang berlaku di sini. Ia barah yang lambat tumbuh dan sering apabila didiagnosis, pesakit sudah menghidapinya di peringkat yang lanjut.

KES SEMAKIN BERTAMBAH
“Sungguhpun ia jarang berlaku, tetapi kami lihat kesnya semakin bertambah – di seluruh dunia kini lima orang dalam setiap 100,000 orang menghidapinya.

“Ia mungkin kerana pesakit dapat hidup lebih lama dengan tumor yang lambat tumbuh – sampai tujuh hingga sembilan tahun – walaupun ia telah merebak ke seluruh badan,” kata Dr Wang.

Jumlah kes pesakit barah neuroendokrin di Singapura belum dapat dikumpulkan sejauh ini.

Para peserta kajian itu telah didapatkan daripada mereka yang menghadiri satu simposium kesihatan di Pusat Konvensyen, Raffles City kelmarin. Sekitar 100 orang dijangka terlibat.

Seluruh kajian ini dijangka selesai dalam tempoh tiga hingga empat bulan.

0 comments:

Post a Comment

Terima Kasih mengunjungi kami...Datang Lagi yeee :)